Bagi kanak-kanak, alahan terhadap makanan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tapi, bagi ibu bapa, masalah ini sudah cukup untuk membuatkan mereka panik. Supaya anda lebih bersedia untuk berhadapan dengan masalah ini, berhati-hati dengan makanan berikut:
  • Susu lembu atau susu soya
Alahan terhadap susu lembu mungkin disebabkan oleh tubuh tidak dapat menerima laktosa atau tidak dapat menerima protein susu. Masalah ini sangat biasa dihadapi oleh kanak-kanak. Alahan ini boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami cirit-birit yang teruk atau muntah-muntah.
  • Telur, ikan dan madu
Ibu bapa perlu lebih berhati-hati jika ingin memberi anak makan telur, ikan dan madu kerana makanan ini boleh menyebabkan alahan. Bayi tidak digalakkan diberi makan telur kerana mengandungi bakteria salmonella manakala dalam madu mentah pula mengandungi botulism. Kanak-kanak yang alah terhadap telur dan ikan biasanya akan  mengalami ruam atau muntah. Kesan alahan terhadap telur boleh berlaku serta-merta atau sehari selepas mengambilnya.    
  • Kekacang dan kerang-kerangan
Pakar pediatrik menyarankan ibu bapa tidak memberi anak mereka makan kekacang atau kerang-kerangan selagi mereka belum berusia dua tahun. Kekacang dan kerang-kerangan boleh menyebabkan anafilaksis iaitu tindak balas abnormal terhadap antigen tertentu.
  • Strawberi
Ramai yang tidak mengetahui bahawa ada sesetengah kanak-kanak alahan terhadap buah beri seperti strawberi. Walaupun jarang berlaku, hal ini tidak boleh dipandang ringan. Alahan terhadap strawberi boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami ruam pada pipi dan sekitar mulut. Ada kalanya, alahan tersebut boleh menyebabkan bengkak sekitar mulut, bibir, tekak dan muka. Biasanya pakar pediatrik menyarankan agar kanak-kanak hanya diberi selepas mereka berusia satu tahun.
  • Gandum
Alahan terhadap gandum boleh menyebabkan cirit-birit, kekeringan dan gatal pada kulit dan kepala. Biasanya alahan ini disebabkan oleh kandungan gluten dalam gandum. Kanak-kanak yang alah terhadap gandum perlu mengamalkan diet yang betul-betul bebas gluten.
4 soalan tentang alahan makanan
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan alahan makanan?
Jawapan:
Alahan makanan berlaku apabila sistem imun tubuh bertindak balas dengan protein yang wujud dalam sesetengah jenis makanan.
Soalan:
Bolehkah alahan terhadap makanan ini dielakkan?
Jawapan:
Boleh. Caranya ialah dengan melambatkan proses memperkenalkan makanan yang berpotensi menyebabkan alahan kepada anak.
Soalan:
Apakah tanda-tanda yang menunjukkan seseorang kanak-kanak itu mengalami alahan?
Jawapan:
Ruam pada kulit, sukar untuk bernafas, loya, muntah-muntah, sakit perut dan anafilaksis.
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk merawat alahan?
Jawapan:
Elakkan makanan yang berpotensi menyebabkan alahan tersebut. Jika masalah berlarutan, segera bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber :http://pama.karangkraf.com/kanak-kanak/jauhi-makanan-itu-1.116749