بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
‘Ta’awwuz’ ialah ucapan
“A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim” yang diucapkan sebelum membaca
‘Bismillah’ apabila
kita membuat sesuatu, kerana dengan bacaan ” Ta’awwuz ” akan
membersihkan lidah daripada kekotoran yang dibawa oleh syaitan.
Firman Allah :
“Jika engkau diganggu Syaitan dengan sesuatu gangguan,
hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia
Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Al A’raf : ayat 200)
Hadits yang diriwayatkan oleh Al Imam Abu Dawud, Ibnu Majah,
Daraquthni dan Hakim, menyatakan, bahawa Nabi biasa membaca Ta’awwudz
yang berbunyi:
“A’UUDZUBILLAHI MINASY SYAITHONIR RAJIIM MIN HAMAZIHI WA NAFKHIHI WANAFTSIHI”
Atau mengucapkan:
“A’UUZUBILLAHIS SAMII’IL ALIIM MINASY SYAITHONIR RAJIIM.”
(Hadits diriwayatkan oleh Al Imam Abu Dawud dan Tirmidzi r.a.).
Ucapan Ta’awwuz itu ibarat meminta izin dan ibarat mengetuk pintu,
seumpama seseorang yang hendak masuk ke istana berkata-kata dengan Raja,
maka hendaklah dibersihkan dirinya daripada kekotoran. Hukum membaca Ta’awwuz itu sunat dan ia adalah sunnah Nabi SAW.
Bertawakal Kepada Allah SWT
Membaca ‘Doa Ta’awwuz’ disunatkan dalam setiap raka’at solat, begitu juga ketika membaca Al-Quran sebagaimana firman Allah Ta’ala:
“Apabila engkau membaca Al Quran, maka ucapkanlah ”
A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim.” Sesungguhnya Syaitan itu tidak
mempunyai kekuatan dapat memaksa orang-orang beriman yang bertawakkal
kepada Allah.” ( An Nahl : 98 – 99)
Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai kekuatan dapat memaksa orang
yang beriman kepada Allah untuk masuk ke dalam perangkapnya. Maka
pengertian daripada ayat di atas, fahamlah kita bahawa Ta’awwuz
seseorang mukmin itu adalah merupakan satu cara untuk bertawakal kepada
Allah SWT.
Penyapu Al-Quran
Diterangkan oleh Ibnu Abbas r.a. :
“Kebesaran Al Quran itu dengan A’uzubillahi minas syaitonir Rajim dan pembukaan Al Quran itu dengan Bismillahirrahmanirrahim.”
Berkata ulama’ bahawa A’uzu itu adalah seperti penyapu Al Quran… Maka setiap orang yang hendak membaca Al Quran, perlulah menyapu hatinya dari segala keraguan dan was-was. Dan berkata Al Hassan bin Abi Tolib : “Sesiapa yang membaca “A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim “ itu, maka tidak ada jalan Syaitan yang boleh menggodanya.”
Khasiat Lain Membaca Ta’awwudz;
1. Mengutuk Syaitan
2. Dapat Mengusir Syaitan
3. Mengatasi Mimpi Buruk
4. Menhilangkan Perasaan Takut
5. Menghentikan Pertanyaan Menyesatkan
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan akan
menghampirimu dan bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini dan itu?”
sehingga akhirnya dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan tuhanmu ini?”
Apabila sudah sampai di situ, maka berlindunglah kepada Allah SWT
(mengucapkan : A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim).” (HR.Muslim)
Ketika duduk bersendirian dan mengagumi alam, sering muncul difikiran
betapa indah ciptaan Allah SWT, kita pun menyedari segala sesuatu itu
memang terjadi kerana Kehendak-Nya, namun pada tika itu
syaitan mencari kesempatan untuk menyesatkan,dengan memberi pertanyaan
yang menyesatkan,hingga akhirnya,kita boleh terjerumus menjadi musyrik, A’uudzubillaah minzalik.
Mengalahkan Syaitam
Kebanyakan hati manusia dikalahkan oleh Syaitan yang telah berjaya
menyerap masuk ke dalam hatinya dengan pengaruh nafsu. Sehingga hati itu
memilih keduniaan dan melupakan akhirat. Hal ini tidak dapat dikalahkan
melainkan manusia itu kembali kepada zikir Allah ( mengingati Allah )
dan membanyakkan membaca Ta’awwuz.
Berkata Jabir bin Ubaidah Al Adawi : Saya pernah mengeluh kepada Al
A’la bin Ziyad : tentang was-was yang terdapat di dalam dada saya. Maka
ia berkata : “Bahawa Hati itu umpama sebuah rumah yang dilalui
beberapa pencuri. Pencuri-pencuri itu berusaha mencuri apa-apa yang
menjadi kegemarannya di dalam rumah tersebut. Tetapi jika di dalam rumah
tersebut tidak mempunyai apa-apa, maka pencuri-pencuri itu akan melalui
sahaja rumah itu dan akan meninggalkannya. Iaitu hati yang bersih
daripada syahwat nafsu tidak akan dimasuki Syaitan.”
Firman Allah: “Sesungguhnya hamba-hambaKu itu tidak ada kekuasaan bagimu ( Syaitan ) ke atas mereka.” (Bani Israil : 65) Dan “Bahawasanya
orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka diganggu oleh Syaitan, lantas
mereka ingat kepada Allah, maka jika begitu mereka akan melihat.” (Al A’raf : 201)
Untuk mengalahkan Syaitan hati perlu diisi dengan zikrullah dan iman.
Sifat iman ilmu yang belum lagi meresap ke dalam hati boleh naik dan
adakalanya turun. Maka ianya perlu dibajai dan disuburkan dengan ibadah dan mujahadah yang ikhlas dan tawadhuk.
Seterusnya akan timbul di dalam hati rasa kebesaran Allah,
hati akan lebih mengenal Allah, takut kepada Allah, menghina diri dan
malu dengan Allah SWT, takut ancaman Allah dan harap akan nikmat Allah,
terasa gerun dan cinta kepada Allah Ta’ala.
Maka secara sendirinya hati akan beramal dengan amalan yang baik dan sentiasa mengingati Allah dengan zikrullah yang akhirnya mendatangkan ketenangan pada batin manusia dan akan memundurkan Syaitan daripada menguasai hati kita.
Rasulallah SAW bersabda : “Tergesa-gesa itu daripada Syaitan dan tenang itu dari Allah.”
Bagi menyelamatkan mereka dari dikuasai oleh nafsu dan Syaitan
laknatullah alaih di dalam melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Allah
SAW, perbanyakkanlah membaca A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim sebagai
satu zikir dan senjata di dalam usaha kita menghindarkan diri kita
daripada gangguan dan godaan Syaitan.
Selamat Mengamalkan Bacaan Ta’awwuz. Semoga Kita Selalu Dilindungi Oleh Allah SWT. Amiin!
Wallahu A’alam Bissowab
Sumber :: http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/10/04/fadhilat-dan-khasiat-taawwuz/